suria

Cubaan Rampasan Kuasa: Lebih Ramai Bakal Ditahan - TPM Turki

Anggota pasukan keselamatan melakukan rondaan di sekitar Ankara susulan pengisytiharan darurat di Turki berkuatkuasa 22 Julai .

ANKARA: Situasi tegang di Turki disahkan apabila kerajaan pada Jumaat mengumumkan perintah darurat selama tiga bulan, diikuti pendedahan Nurettin Canikli mengenai lebih ramai yang akan ditahan dalam masa terdekat kerana terlibat dalam cubaan rampasan kuasa baru-baru ini.

Bercakap kepada BBC, Timbalan Perdana Menteri Turki itu berkata, setakat ini sekurang-kurangnya 60,000 penjawat awam telah ditahan atau digantung tugas susulan insiden itu dan jumlah berkenaan dijangka meningkat.

Kerajaan Turki juga mendakwa, penyokong setia gerakan Fethullah Gulen menjadi dalang cubaan rampasan kuasa itu, walaupun pengasasnya menafikan dakwaan itu.

"Selama 40 tahun, pertubuhan itu telah menyerap dalam setiap pelusuk negara ini termasuk kementerian, semua institusi kerajaan dan swasta.

"Juga tidak ketinggalan institusi kehakiman, mahkamah, polis dan pasukan tentera, selain pendidikan. Malah, bidang pendidikan adalah antara yang menarik minat pertubuhan itu," kata Canikli.

Menurut pegawai kementerian pendidikan negara itu, guru sekolah swasta dan ketua fakulti universiti tempatan adalah sasaran utama kumpulan berkenaan.

Berikutan itu, kata Perdana Menterinya, Binali Yildirim, dalam tempoh itu pihaknya akan menghapuskan gerakan Fethullah Gulen yang didakwa menjadi dalang cubaan rampasan kuasa itu.

Pada Jumaat, Presiden Turki, Recep Tayyip Erdogan telah mengisytiharkan darurat. Usul yang berkuatkuasa serta merta itu diluluskan dengan 346 undian sokongan dan 115 menentang.

Turki setakat ini telah mendakwa hampir 100 pegawai tentera berpangkat tinggi manakala Lebih 50,000 askar, polis, hakim, penjawat awam serta guru digantung kerja ataupun ditahan.

Ahli akademik juga dilarang ke luar negara dan lebih 600 institusi pendidikan pula ditutup.

Sekurang-kurangnya 246 terbunuh termasuk orang awam, pihak keselamatan manakala 1,530 lagi cedera dalam serangan itu.



Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain