GUATEMALA CITY: Akibat terlalu asyik melayan permainan Pokemon Go, seorang remaja maut, manakala sepupunya parah ditembak dalam kejadian serang hendap dekat sini. Jerson Lopez de Leon, 18, mati dan sepupunya, Daniel Moises Picen, 17, cedera dalan insiden yang berlaku di jalan raya di bandar Chiquimula. Hampir 20 kelongsong peluru ditemui di tempat kejadian, tempat dua sepupu itu mencari makhluk maya permainan terbabit. Menurut laporan media tempatan, de Leon dan Picen berjalan menyusuri landasan kereta api lama sebelum tiba-tiba dihujani peluru dari sebuah kenderaan yang lalu di situ. Polis kini memburu kumpulan yang menaiki kenderaan yang dipercayai digunakan untuk tujuan pertanian yang dilihat meninggalkan tempat kejadian. Punca kejadian tidak diketahui, tetapi polis mengesyaki ia cubaan merompak telefon bimbit mangsa. Satu lagi teori ialah seorang daripada mangsa itu memang diburu penyerang terlibat dan dijejaki menggunakan GPS telefon bimbitnya. De Leon meninggal dunia di hospital, manakala sepupunya masih dirawat kerana kecederaan akibat ditembak pada kaki.