JAKARTA: Seorang lelaki yang pernah ditangkap kerana mengaku dirinya sebagai 'nabi' di Jawa Barat pada tahun lepas, kini mengulangi kegiatan dakwahnya tetapi dengan ajaran terbaru iaitu mengenakan bayaran Rp2 juta (kira-kira RM600) kepada setiap pengikutnya yang mahu masuk syurga. Lelaki yang dikenali sebagai Abdul Muhjib itu menjalankan kegiatan dakwahnya di sebuah pondok yang didirikan bersama lima rakannya di kampung Medal Sari di daerah Tegal Waru di Karawang, Jawa Barat. Kegiatannya terbongkar apabila terdapat penduduk yang tidak berpuas hati dengan ajarannya, membuat laporan polis. Polis semalam menahan Abdul Muhjib kerana memperdayakan masyarakat kampung dan dia ditahan di balai polis Karawang untuk siasatan lanjut. Media dalam talian memetik Ketua Bahagian Siasatan Jenayah Polis Pangkalan, Kerawang di Jawa Barat, Rahmat Ginanjar sebagai berkata, Abdul Muhjib sebelum ini pernah ditahan polis tetapi dibebaskan kerana berjanji tidak akan meneruskan ajarannya dan bertaubat di hadapan pegawai agama dari Majlis Ulama Indonesia. Bagaimanapun dia didapati tidak serik untuk menipu dan menggiatkan semula ajaran sesatnya pada awal bulan ini. Katanya, Abdul Muhjib akan didakwa di bawah Pasal Penistaan Agama yang membawa hukuman penjara dan polis juga masih menyiasat serta mengumpulkan bukti mengenai penipuan yang dilakukannya.