JAKARTA: Kementerian Dalam Negeri Singapura pada Jumaat menyedari rancangan oleh enam suspek militan Indonesia untuk melancarkan roket dari Batam ke Marina Bay. Justeru, pihak kementerian itu berkata pihak polis dan beberapa agensi lain telah meningkatkan kawalan keselamatan di dalam negara dan juga kawasan sempadan. Terdahulu polis Indonesia menahan enam suspek militan di Batam, termasuk ketua kumpulan itu yang sebelum ini merancang untuk menyerang Singapura. "Agensi keselamatan kami telah bekerjasama rapat dengan pihak berkuasa Indonesia sejak rancangan pengganas itu berjaya dipatahkan untuk memantau aktiviti kumpulan tersebut dan menahan mereka yang terlibat. "Kami berterima kasih di atas kerjasama yang baik diberikan pihak berkuasa Indonesia dan tindakan mereka menahan kumpulan itu," kata kementerian itu dalam satu kenyataan. Kementerian itu berkata polis dan agensi lain telah meningkatkan kawalan keselamatan di dalam negara dan juga kawasan sempadan susulan rancangan serangan tersebut. "Rancangan itu menunjukkan betapa seriusnya ancaman keganasan kepada Singapura," kata kementerian itu. Kumpulan itu yang hanya dikenali polis sebagai "KGR @ Katibah GR" dituduh melindungi dua etnik Uighur, kata jurucakap polis Indonesia, Boy Rafli Amar menerusi satu teks mesej. Ali, salah seorang daripada suku Uighur telah dikaitkan dengan pengebom berani mati yang cuba untuk menyerang sebuah balai polis di bandar Solo di Jawa Tengah pada 5 Julai lalu. Pengebom itu, Nur Rohman, anak tempatan berusia 30an dari kampung Sangkrah di Solo berjaya membawa Ali dari Batam ke Bogor dan kemudian ke Bukit Bakri. Boy Rafli berkata, ketua kumpulan itu, Gigih Rahmat Dewa, 31, dan Bahrun Naim, seorang militan Indonesia dipercayai telah berjuang bersama Negara Islam di Iraq dan Syria (ISIS).