DUBAI: Pihak berkuasa Kuwait menahan seorang warga Filipina yang didakwa terlibat dalam militan IS dan merancang untuk melancarkan serangan di negara itu, lapor agensi berita rasmi KUNA. Menerusi satu kenyataan Kementerian Dalam Negeri, wanita yang dilahirkan pada tahun 1984 itu bekerja sebagai pembantu rumah di Kuwait pada Jun lalu dan telah berhubung dengan anggota IS di Libya. Hasil dari risikan pasukan keselamatan dalam akaun e-mel yang dikendalikan wanita itu, terdapat satu mesej cubaan menghubungi kumpulan militan libya dengan menggunakan nama samaran palsu bagi mengelakkan pemantauan. "Tertuduh mengaku bahawa dia sudah bersedia untuk melancarkan serangan pengganas dan mensasarkan lokasi tertentu untuk menjejaskan keselamatan dan kestabilan di Kuwait serta mencetuskan hasutan," lapor KUNA. Agensi berita itu juga menerbitkan beberapa keping gambar wantia pertengahan umur itu yang bertudung, mengenakan pakaian tradisi abaya serba hitam serta jubah yang menyelubungi seluruh badan dan dikenal pasti sebagai tertuduh. Bulan lalu, Kuwait berjaya menggagalkan tiga serangan terancang IS terhadap negara ini termasuk perancangan untuk meletupkan sebuah masjid Syiah selepas melancarkan serbuan besar-besaran dalam tangkapan militan. Terdahulu Kuwait yang juga mempunyai beberapa pangkalan tentera Amerika Syarikat pernah mengalami serangan militan yang dahsyat apabila seorang pengebom berani mati meletupkan dirinya di dalam masjid yang penuh sesak sehingga membunuh 27 orang pada tahun lalu dan IS mengaku bertanggungjawab. Kuwait adalah sebahagian daripada 34 negara perikatan yang diumumkan oleh Riyadh pada Disember lalu dalam menangani militan IS dan al-Qaeda yang sering melakukan serangan di Iraq, Syria, Libya, Mesir dan Afghanistan. -Reuters