suria

Peluru Sesat Tembusi Pusat Media Di Rio

RIO DE JANEIRO: Beberapa butir peluru sesat menembusi bumbung plastik pusat media bagi acara ekuestrian pada pukul 1 tengah hari, Sabtu.

Kejadian itu membimbangkan wartawan mengenai keselamatan di Rio yang menjadi tuan rumah acara sukan terbesar di dunia ini.

Menurut jurucakap jawatankuasa penganjur Rio 2016, tiada kecederaan dilaporkan dalam kejadian itu dan polis masih menyiasat dan belum mengenalpasti individu yang melepaskan tembakan tersebut.

"Ia adalah peluru sesat dan tidak ada kena mengena dengan sukan," kata Mario Andrade pada sidang media di sini.

Tambahnya, keselamatan di sekitar lokasi itu telah dipertingkatkan sebagai langkah berjaga-jaga.

Sementara itu seorang jurucakap berkata, Menteri Pertahanan, Raul Jungman berada di kawasan kejadian bagi mengiringi siasatan dan akan kembali semula pada Ahad.

Beberapa polis dan tentera bergegas ke kompleks ekuestrian dan acara itu bagaimanapun tidak dipindahkan.

Pembunuhan di Rio berdekatan Baixada Fluminense meningkat 7.5 peratus kepada 1,518 pembunuhan dalam tempoh enam bulan pertama tahun ini berbanding tempoh yang sama pada 2015. -Reuters

Rio

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain