suria

Polis Thai Jumpa Lebih Banyak Bom Yang Belum Diletupkan

BANGKOK: Pihak berkuasa Thailand menemui lebih banyak bom di Hua Hin dan Phuket pada Ahad susulan usaha diperhebatkan bagi mengesan mereka yang bertanggungjawab ke atas siri insiden letupan bom dan serangan yang berlaku, beberapa hari lepas.

Di Bangkok, seorang pekerja menjumpai satu objek yang mencurigakan yang diliputi tanah dalam parit kecil di persimpangan Lamsalee berhampiran daerah Huamak pada 11.15 pagi (waktu tempatan) pada Ahad.

Selepas diperiksa, ia didapati sebutir bom tangan.

"Sepasukan Polis Pelupus Ordans Letupan (EOD) yang bergegas ke tempat kejadian mengesahkan objek berkenaan adalah bom tangan lama dan membawanya untuk dilupuskan," kata seorang pegawai polis di Balai Polis Huamak.

Bagaimanapun, penemuan bom tangan lama yang mungkin tiada kaitan dengan insiden keganasan terbaharu di wilayah selatan itu, menimbulkan rasa cemas yang memuncak dalam kalangan penduduk Bangkok.

Satu siri serangan ganas di Hua Hin, Phuket, Phang Nga, Krabi, Surat Thani dan Trang menyebabkan empat orang terbunuh dan mencederakan 35 yang lain termasuk 10 pelancong asing.

Seorang pegawai polis di bandar peranginan Hua Hin mengesahkan mereka menjumpai bom lain pada 11 pagi Ahad sebelum pasukan EOD membawa bahan letupan itu, untuk dilupuskan.

Hua Hin, sebuah bandar peranginan pantai kira-kira empat jam perjalanan dari Bangkok dikejutkan dengan dua insiden pengeboman, pada malam Khamis dan pagi Jumaat, yang mengorbankan dua orang dan ramai yang cedera.

Pada Ahad, pihak berkuasa turut menemui bom di Phuket dan dua butir lagi bom yang belum diletupkan di Phang Nga pada Sabtu, kemungkinan besar diletakkan disitu beberapa hari lalu, namun ia gagal meletup seperti yang dirancang.

Phuket, destinasi percutian yang popular dalam kalangan pelancong Malaysia digegarkan dengan insiden serangan bom pada pagi Sabtu, tiga hari selepas penemuan dua butir bom yang tidak meletup ditemui tersembunyi di dua pasaran popular di bandar.

Phang Nga, satu lagi destinasi pantai popular turut digegarkan dengan insiden letupan bom pada pagi Jumaat di Bang Niang Market, di daerah Takua Pa. -Bernama

Bom Thailand

Artikel Lain