DARWIN: Polis Australia memburu empat lelaki yang 'membuang' tiga buaya air masin di sebuah sekolah, selepas memecah masuk untuk mencuri peralatan komputer. Polis di wilayah utara berkata, kesemua lelaki memasuki Kolej Taminmin di Humpty Doo, 40 kilometer selatan Darwin pada awal pagi Ahad lalu, selepas menolak masuk tiga buaya berkenaan menerusi tingkap yang dipecahkan. Rakaman kamera litar tertutup (CCTV) menunjukkan kumpulan lelaki itu mencuri sebuah monitor komputer sebelum melarikan diri. Renjer Taman dan Hidupan Liar, Luke McLaren memberitahu radio ABC, haiwan reptilia itu yang mulut masing-masing ditutup dengan pelekat mungkin diambil dari ladang ternakan buaya berhampiran. Katanya, kesemua haiwan itu dalam keadaan lemah. "Kita akan mengenal pasti haiwan-haiwan ini dari ladang ternakan mana dan kita akan cuba membawa ia semula ke ladang itu. "Tetapi melihat keadaan haiwan-haiwan ini kemungkinan ia terpaksa dimatikan," katanya. - Reuters