MANILA: Selepas 10 tahun menyimpan mutiara yang ditemui di kediamannya sebagai 'tangkal', seorang nelayan warga Filipina terkejut apabila mengetahui nilainya mencecah AS$100 juta (RM403 juta). Ketulan mutiara seberat 34 kilogram yang ditemui di Pulau Palawan itu diserahkan nelayan berkenaan kepada pegawai pelancongan daerah apabila terpaksa berpindah selepas rumahnya terbakar awal tahun ini. Mutiara itu ditemui dalam seekor kima gergasi ketika menyelam untuk melepaskan sauhnya yang tersangkut di Puerto Princesca. Mutiara selebar kira-kira 0.3 meter dan sepanjang 0.67 meter itu jauh lebih besar berbanding permata digelar Pearl of Allah seberat 6.4 kilogram dan bernilai AS$35 juta (RM141 juta) juga ditemui di perairan Palawan pada 1934. Sementara itu, pegawai pelancongan terbabit, Aileen Cynthia Amurao berkata, nelayan itu tidak mengetahui nilai mutiara itu, sebaliknya menyimpannya sebagai tangkal. "Kami terkejut apabila dia membawanya. Kami perlu mendapat pengesahan daripada pakar mengenai nilai sebenarnya. “Namun kami yakin Purteo Princesca bakal mencipta nama sebagai tempat mutiara asli terbesar dunia ditemui," katanya. Katanya, mutiara itu akan terus disimpan di Filipina dan berharap ia akan menarik lebih ramai pelancong ke bandar berkenaan. Mulai Selasa, mutiara itu telah dipamerkan untuk orang ramai.