ROM: Seorang kanak-kanak perempuan berusia 10 tahun terselamat walaupun terperangkap selama 17 jam di bawah runtuhan bangunan dalam kejadian gempa bumi yang melanda tengah Itali pada Rabu. Detik-detik dramatik itu sempat dirakamkan oleh orang awam ketika pasukan penyelamat mengeluarkan mangsa dari celahan runtuhan di pekan Pescara del Tronto awal pagi Khamis. Menerusi video amatur itu, kanak-kanak terbabit yang tidak dinamakan tersebut diselaputi debu di bahagian kaki dan dilaporkan tidak mengalami sebarang kecederaan serius. Mengulas tentang operasi menyelamat itu, anggota bomba dari Ascoli Piceno, Danilo Dionisi berkata, kanak-kanak terbabit telah dibawa ke hospital untuk rawatan lanjut. "Seperti yang dibimbangi ramai pihak, kemusnahan di pekan ini sangat menggerunkan," katanya. Usaha mencari mangsa yang terselamat ekoran bencana itu masih diteruskan ketika imej yang tersebar dalam Internet menunjukkan kemusnahan teruk empat pekan di tengah Itali. - Mail Online