RIYADH: Tragedi ketika ibadah melontar jamrah tahun lalu yang menyebabkan kematian kira-kira 2,300 jemaah mendorong pihak berkuasa Arab Saudi merangka pelan kawalan lebih ketat pada musim haji ini. Antara langkah yang akan diambil adalah memendekkan tempoh jemaah melontar kepada kurang 12 jam. Kementerian Haji Arab Saudi memaklumkan, jemaah tidak akan dibenarkan melakukan ibadah itu dari pukul 6 pagi hingga 10.30 pagi pada 10 Zulhijah. Selain itu, pada 11 Zulhijjah pula tidak boleh melontar dari 2 petang hingga 6 petang dan dari 10.30 pagi hingga 2 petang pada hari terakhir. Pihak berkuasa haji juga melarang jemaah melakukan Tawaf Qudum (Tawaf Selamat Datang) kira-kira sejam sebelum dan selepas waktu solat. Setiausaha kementerian berkenaan, Hussain al-Sharif dipetik Saudi Gazette sebagai berkata, peraturan baharu itu diharap dapat memudahkan jemaah melontar dengan lebih mudah dan mengelak kejadian rempuhan akibat kesesakan. Dalam kejadian tahun lalu, tragedi rempuhan di luar jambatan jamrah setinggi lima tingkat itu adalah yang terburuk dalam sejarah haji. Sekurang-kurangnya 2,297 jemaah terbunuh dan sehingga kini hasil siasatan bencana itu tidak diumumkan. Selain itu, Majlis Perbandaran Makkah mengerah 23,050 kakitangan, pekerja sambilan, kakitangan Kementerian Hal Ehwal Bandar dan Luar Bandar, pengakap serta sukarelawan untuk berkhidmat kepada tetamu Allah itu. Mereka termasuk 13,000 pekerja pembersihan yang dilengkapi dengan 600 hampagas untuk bersihkan Makkah dan tempat suci lain. Malahan, kedai gunting rambut dengan 1,110 kerusi juga disediakan di Mina.