PATTANI: Tentera Thailand menahan reman dua pemandu ambulans yang digunakan dalam serangan bom ke atas sebuah hotel di bandar Pattani pada malam Selasa lepas, yang mengakibatkan seorang wanita terkorban manakala 34 orang lagi cedera. Jurucakap tentera Bahagian ke-4 Kolonel Pramoth Prom-in berkata Mahkamah Tentera membenarkan suspek ditahan reman selama tujuh hari mulai hari ini bagi membantu siasatan berhubung insiden itu. "Jika tidak ada bukti yang mengaitkan mereka dengan kehilangan ambulans itu atau yang mengaitkan mereka dengan anggota kumpulan militan Pattani, maka mereka akan dibebaskan dalam tempoh tujuh hari," katanya pada Khamis. Beliau berkata sekiranya terdapat bukti mereka terlibat dalam insiden itu, suspek akan ditahan reman selama 21 hari sebelum didakwa mahkamah. Ambulans milik sebuah hospital di Phakarang dalam daerah Muang, Pattani telah dicuri beberapa jam sebelum insiden itu dan dipasang dengan bahan letupan sebelum diletakkan di depan Hotel Southern View pada kira-kira 11.30 malam hari kejadian. Beberapa minit sebelum itu, sebutir bom buatan sendiri meletup di sebuah pusat hiburan di bandar Pattani berhampiran hotel tersebut dan sebutir lagi bom buatan sendiri meletup di daerah Nongchik pada kira-kira pukul 12 tengah malam itu. Jurucakap itu juga berkata dua individu tidak dikenali yang dirakam kamera litar tertutup (CCTV) dipercayai terlibat dengan serangan bom kereta tersebut dan pihak tentera percaya mereka masih berada di selatan Thailand. Dalam perkembangan berkaitan, seorang lelaki yang cedera parah dalam insiden itu meninggal dunia di hospital pada Khamis malam manakala tiga lagi mangsa masih berada dalam keadaan kritikal. Sementara itu, kira-kira 300 sukarelawan terdiri kakitangan kerajaan, anggota tentera dan pelajar mengadakan gotong-royong membersihkan lokasi letupan bom di hotel terbabit pada Khamis.