suria

Perompak Bank Dituduh Membunuh

TORONTO: Seorang perompak bank yang dikenali sebagai 'perompak janggut palsu' didakwa atas tiga pertuduhan dalam serangan pembunuhan di timur bandar Toronto, mengorbankan tiga nyawa, lapor polis, Jumaat.

Brett Ryan, 35, yang muncul di mahkamah pada Jumaat, pernah ditangkap pada tahun 2008 kerana menyamar melakukan rompakan, menurut polis.

Dia didakwa atas kesalahan melakukan lebih dari 10 rompakan dan telah disabitkan kesalahan.

Dalam kejadian terbaharu, dua lelaki dan seorang wanita meninggal dunia di jalan masuk sebuah rumah pada Khamis.

Salah seorang yang terbunuh sempat membuat panggilan kecemasan sebelum meninggal dunia, menurut laporan sebuah akhbar tempatan, yang berkata, suspek juga mengalami kecederaan.

Polis tidak menyatakan motif pembunuhan atau memaklumkan sama ada mereka telah mengenal pasti mangsa.

Rekod hartanah menunjukkan bahawa rumah di mana tiga mangsa ditemui terbunuh itu adalah atas nama Susan dan William Ryan, masing-masing berusia 66 dan 65 tahun.

William Ryan telah meninggal dunia tahun lalu, lapor media tempatan.

Brett Ryan pernah tinggal di rumah sama yang diduduki oleh Susan dan William Ryan, menurut rekod kerajaan yang menunjukkan prosiding kebankrapan telah dimulakan ke atasnya pada tahun 2010.

Dia dijatuhi hukuman penjara tiga tahun dan sembilan bulan dalam kes-kes rompakan bank, menurut Canadian Broadcasting Corp.

Peguamnya, G.J. Partington, enggan mengulas.

Ryan dijadualkan berada di mahkamah pada 2 September.

Dalam kejadian lain pada Khamis yang dinyatakan polis sebagai mempunyai kaitan dengan pembunuhan itu, sebuah bangunan di pusat bandar telah dipindahkan kerana bungkusan mencurigakan.

Mereka bagaimanapun tidak memberikan perincian mengenai kes itu saling berkait.

Rompakan

Artikel Sebelum

Artikel Lain