ROME: Beberapa agensi keselamatan menunda hampir 20 buah bot yang dinaiki oleh 1,725 pelarian di laut Mediterranean pada Khamis, sebagai usaha mengekang berulangnya krisis kemanusiaan di benua Eropah. Menurut pengawal pantai Itali, sebanyak 16 misi berasingan dijalankan dalam menyelamatkan migran dengan melibatkan tentera laut, agensi antipenyeludupan manusia Kesatuan Eropah (EU) dan dua pertubuhan misi kemanusiaan. Namun status kerakyatan pelarian yang menaiki 14 bot getah dan dua bot kayu tersebut tidak dinyatakan tetapi kebanyakan mereka dipercayai datang dari sub-sahara Afrika. Undang-undang longgar di Libya dan keadaan laut yang tidak bergelora menyumbang kepada peningkatan bilangan pelarian dari Afrika Utara untuk memasuki memasuki kawasan sempadan selatan Eropah. Itali menjadi pintu masuk utama kumpulan pelarian ke Eropah sejak EU memetarai perjanjian dengan Turki pada bulan Mac untuk membendung kebanjiran golongan itu ke Greece. Menurut Pertubuhan Antarabangsa, sekitar 105,000 pelarian tiba di Itali antara awal tahun ini sehingga 26 Ogos lalu. -Reuters