suria

Seorang Maut Nahas Kereta Api Kena Bom 20 Kg

Keadaan gerabak yang musnah selepas keretapi dari Sungai Golok ke Hatyai diserang bom mengakibatkan seorang kakitangan keretapi maut dan tiga lain cedera di stesen keretapi Khokpo kira-kira 5.45 petang tadi (waktu tempatan), Sabtu.

PATTANI: Seorang pekerja kereta api maut, manakala tiga rakan kerja lain cedera apabila kereta api yang dikendalikan mereka terkena letupan bom selepas melepasi stesen Nikom Khokpo di sini, Sabtu.

Dalam kejadian 5.45 petang itu, kereta api enam gerabak dengan 100 penumpang yang dalam perjalanan dari Sungai Golok ke Hatyai, terkena bom 20 kilogram yang ditanam di landasan kereta api di stesen berkenaan.

Bagaimanapun, semua penumpang tidak mengalami kecederaan. Ketua Polis Pattani, Mejar Jeneral Thanongsak Wangsupa, berkata mangsa yang terkorban, Chavalit Khonpan, 53, dan tiga pekerja termasuk seorang wanita itu menaiki gerabak terakhir tanpa penumpang.

Beliau berkata, kereta api itu singgah di stesen berkenaan dan mula bergerak apabila bom berkenaan meletup di bahagian akhir kereta api berkenaan sehingga gerabak terakhir itu terputus dua.

"Seorang daripada tiga yang cedera itu adalah kakitangan wanita yang mengalami kecederaan parah. Mangsa terbunuh di tempat kejadian manakala yang cedera dihantar ke Hospital Pattani untuk rawatan," katanya kepada pemberita di sini.

Letupan bom itu meninggalkan kawah sedalam satu meter dan selebar dua meter. Polis sedang menyiasat mereka yang mendalangi serangan itu. - Bernama

Nikom Khokpo, bom, Sungai Golok

Artikel Lain