JAKARTA: Presiden Filipina, Rodrigo Duterte menjelaskan kenyataan kesat yang dikeluarkannya sebelum ini bukan untuk menghina Barack Obama, sebaliknya ditujukan kepada pegawai Jabatan Negara Amerika Syarikat (AS). Perkara itu dinyatakan Duterte apabila ditanya mengenainya ketika melakukan lawatan rasmi ke Indonesia pada Jumaat. Katanya, beliau tidak bersetuju dengan jabatan berkenaan yang menyentuh mengenai kemungkinan hak asasi manusia dicabuli di Filipina. “Saya sangat marah dengan ancaman mengenai isu hak asasi manusia. Ini salah orang gila di Jabatan Negara AS,” tegasnya. Isu ini timbul susulan kempen memerangi dadah Duterte yang sehingga kini menyebabkan hampir 3,000 maut dalam tempoh dua bulan. Malahan, kata Duterte, dia juga sudah menjelaskan perkara itu kepada Presiden AS itu ketika mereka bertemu. Duterte mencetuskan kontroversi menjelang sidang kemuncak Asean minggu ini apabila mengeluarkan kata-kata kesat terhadap Obama hingga menyebabkan pemimpin AS itu membatalkan pertemuan mereka. Bagaimanapun, kedua-dua pemimpin itu berjumpa sebentar di Laos dan Duterte sempat melahirkan kekesalannya.