SEOUL: Korea Selatan memberi amaran untuk melancarkan serangan yang akan menghancurkan ibu negara Korea Utara jika negara musuh itu menunjukkan petanda mahu melancarkan serangan nuklear. Sumber tentera memaklumkan pada agensi berita Yonhap, serangan itu akan memusnahkan segenap kawasan Pyongyang dengan serangan peluru berpandu balistik dan artileri berkuasa tinggi. Amaran itu dilaungkan susulan ujian nuklear kelima yang diadakan oleh Korea Utara pada Jumaat lalu yang mencetuskan kebimbangan seluruh dunia terhadap kedegilan Pyongyang mematuhi undang-undang antarabangsa, sekali gus mengancam kestabilan sejagat. Jelas sumber berkenaan, rancangan untuk melancarkan serangan ke atas Pyongyang dilihat sebagai strategi yang tepat kerana pucuk kepimpinan Korea Utara dipercayai akan berlindung di kawasan tersebut jika berlaku sebarang serangan. "Bandar itu akan hancur menjadi debu dan terpadam dari peta dunia," tambah sumber tersebut. Sementara itu, sekutu Seoul, Amerika Syarikat mempertimbangkan untuk mengambil tindakan secara bersendirian bagi menghukum kedegilan Korea Utara. Wakil khas AS bagi hal ehwal Korea Utara, Sung Kim berkata, Washington akan bekerjasama dengan Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu untuk mencari hukuman paling berat ke atas tindakan terbaharu Pyongyang. "Selain sekatan yang akan ditentukan oleh Majlis Keselamatan, Washington akan mengenakan tindakan tersendiri ke atas Korea Utara," katanya.