suria

3,500 Anggota Dikerah Kawal Kebakaran

JAKARTA: Agensi penguatkuasa Indonesia mengerahkan kira-kira 3,500 anggota untuk mengekang kejadian kebakaran hutan dan ladang di Kalimantan Barat.

Jurucakap Agensi Pengurusan Bencana Negara (BNBP), Sutopo Purwo Nughoro berkata, kesemua anggota terlibat ditugaskan untuk mengawal kebakaran di kawasan Kubu Raya, Mempawah, Landak, Bengkayang, Sanggau, Sekadau, Sintang, Melawi, Kapuas Hulu dan Kayong Utara.

"Kami berdepan kesukaran untuk mengawal kebakaran di kawasan tersebut terutamanya melibatkan sikap pihak tidak bertanggungjawab memulakan kebakaran semata-mata mahu membersihkan ladang mereka," katanya pada agensi berita Antara, Isnin.

Selain cabaran itu, Sutopo berkata, pihaknya mengalami masalah kekurangan bekalan air untuk memadamkan kebakaran menerusi cara pengeboman air menggunakan pesawat.

Jelasnya, beberapa lokasi panas baharu telah dikesan ekoran tindakan banyak pihak melakukan pembakaran pada waktu siang.

Beliau turut menyuarakan kekesalan terhadap beberapa daerah termasuk Ketapang dan Sambas yang masih belum melaporkan tahap kecemasan kawasan masing-masing walaupun jumlah titik panas semakin meningkat di lokasi berkenaan.

Masalah kebakaran yang tidak terkawal di Indonesia dikhuatiri mencetuskan kembali krisis jerebu yang teruk di beberapa negara jiran termasuk Malaysia dan Singapura seperti yang berlaku pada tahun lalu.

Jerebu, Indonesia, Kebakaran

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain