JAKARTA: Badan ulama tertinggi Indonesia mengeluarkan fatwa melarang perbuatan mencetuskan kebakaran hutan dengan sengaja, sebagai usaha menghentikan jerebu yang menyelubungi Asia Tenggara setiap tahun. Ketua Majlis Ulama Indonesia (MUI), Dr. Huzaemah Tahido Yanggo dalam kenyataannya berkata pada Selasa, berdasarkan fatwa yang selaras dengan panduan yang terdapat dalam al-Quran, haram bagi orang Islam membakar hutan atau tanah pertanian dengan sengaja. "Mengikut kitab suci al-Quran, kita tidak dibenarkan merosakkan alam sekitar kerana pembakaran hutan boleh menyebabkan kerosakan alam sekitar. "Malah kesihatan manusia juga boleh terjejas selain mengangggu negara jiran," kata beliau. Kebanyakan syarikat sawit dan petani memilih cara pembakaran hutan ntuk membersihkan ladang kelapa sawit kerana melibatkan kos murah dan cepat. Kebakaran hutan pada tahun lalu merupakan yang terburuk sehingga mencetuskan krisis jerebu yang menyelubungi sebahagian besar Indonesia, Malaysia dan Singapura selama beberapa minggu. Menteri Alam Sekitar dan Perhutanan, Siti Nurbaya Bakar, menyambut baik fatwa itu dan berharap pendakwah Islam akan menyebarkan berita itu kepada masyarakat tempatan. "Tindakan susulan paling penting adalah memaklumkan fatwa ini kepada penduduk awam," katanya. Majlis berkenaan sebelum ini mengeluarkan fatwa melindungi alam sekitar, termasuk mengharamkan pemburuan dan perdagangan haiwan terancam, tindakan yang pertama di dunia. - AFP