JAKARTA: Setelah dua minggu sistem ganjil-genap dilaksanakan bagi semua laluan utama di kota Jakarta, sebanyak lebih 2,000 kenderaan telah dikenakan saman kerana melanggar peraturan itu. Sistem ganjil-genap ialah peraturan membenarkan kenderaan memasuki jalan-jalan utama di kota Jakarta berdasarkan nombor plat terakhir yang dipadankan dengan haribulan sebagai menggantikan sistem minima tiga penumpang (3 dalam 1) di dalam kenderaan yang dilaksanakan sebelum ini. Media-media dalam talian memetik Ketua Polis Trafik Metro Jaya, Budiyanto sebagai berkata, polis terpaksa mengambil tindakan tegas untuk mengeluarkan saman bagi memastikan sistem ganjil-genap itu dipatuhi. Katanya, kebanyakan pemandu yang dikenakan saman itu memberi pelbagai alasan yang subjektif termasuk lupa dan kecemasan. Beliau berkata, berdasarkan penelitian, sistem ganjil-genap itu didapati telah mengurangkan kesesakan lalu lintas dan perjalanan kenderaan lebih cepat di kota Jakarta. Budiyanto bagaimanapun berkata jumlah mereka yang melanggar peraturan itu semakin berkurangan setelah mendapati ketegasan pihak berkuasa untuk mengawal lalu lintas di semua jalan-jalan utama itu. Pihak berkuasa telah memperkenalkan undang-undang peraturan ganjil-genap berkuat kuasa 30 Ogos lepas dan mereka yang melanggar peraturan itu boleh dikenakan saman dengan maksima Rp500,000 (kira-kira RM150). Kota Jakarta adalah antara 10 ibu kota yang tersenarai sebagai tersibuk di dunia dengan lebih 20 juta pelbagai jenis kenderaan berada di atas jalan setiap hari. - BERNAMA