Jabatan Polis Bandaraya New York (NYPD) mengeluarkan sekeping gambar Ahmad Khan Rahami, warganegara naturalisasi Amerika berketurunan Afghan yang dikehendaki untuk disoal siasat berhubung letupan malam Sabtu di kawasan penempatan Chelsea di Manhattan, kata de Blasio kepada CNN.
Pihak berkuasa persekutuan kini percaya bahawa letupan pada hujung minggu yang mencederakan 29 orang itu, di mana satu lagi bahan letupan ditemui di kawasan berdekatan, mempunyai kaitan dengan enam bahan letupan yang ditemui di Elizabeth, pegawai Keselamatan Dalam Negeri memberitahu Reuters.
Letupan berlaku beberapa hari sebelum pemimpin dunia bersedia untuk berkumpul bagi menghadiri Persidangan Agung Tahunan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu di New York.
Jurucakap White House Josh Earnest dalam wawancara televisyen berkata Presiden Barack Obama, yang sudah berada di New York, telah diberi taklimat mengenai kes itu.
Cuomo mengakui kemungkinan terdapat hubungan antarabangsa dalam kes itu.
"Bukti-bukti itu mungkin mencadangkan hubung kait negara asing," kata Cuomo dalam wawancara televisyen pada pagi Isnin.
Penyiasat percaya masih ada lagi individu yang terlibat dalam plot pengeboman di New York dan New Jersey selain Ahmad Khan, tetapi mereka tidak mempunyai idea jelas tentang siapa orangnya, dua pegawai AS memberitahu Reuters.
Poster Biro Penyiasatan Persekutuan berkata Ahmad Khan adalah seorang pemastautin di Elizabeth, New Jersey, di mana ejen-ejen yang menjalankan carian pada pagi Isnin selepas bahan letupan ditemui di sebuah stesen kereta api di kota itu, kata Datuk Bandar, Christian Bollwage kepada CNN.
Memberi amaran bahawa Ahmad Khan mungkin bersenjata, De Blasio juga menggesa penduduk supaya berwaspada dan melaporkan sebarang perkara yang dilihat mencurigakan kepada pihak berkuasa.
Cuomo berkata, walaupun bom yang ditemui di Manhattan dan New Jersey tidak sama, terdapat 'persamaan tertentu' antara bahan kimia dan teknologi yang digunakan.
Serbuan di Elizabeth dibuat beberapa jam selepas bahan letupan ditinggalkan berhampiran di stesen kereta api di situ.