BEIJING: Seorang wanita di China sanggup mempertaruhkan nyawanya apabila sanggup berdiri di bawah sebuah pesawat sebagai tanda bantahan selepas dia dan suaminya terlewat tiba untuk menaiki penerbangan ke Shanghai. Menurut portal People's Daily Online, kejadian itu berlaku di Lapangan Terbang Antarabangsa Beijing pada 14 September lalu apabila pasangan suami isteri tersebut kelewatan untuk menaiki penerbangan Air China. Jelas laporan itu, walaupun telah dimaklumkan mereka tidak dapat menaiki penerbangan CA 1519 yang menuju ke Shanghai, pasangan tersebut bertindak luar kawalan apabila merempuh staf keselamatan dan memasuki kawasan landasan. Wanita terbabit bertindak berdiri di bawah pesawat itu dengan harapan penerbangan tersebut dibatalkan manakala suaminya cuba berunding dengan krew lapangan. Bagaimanapun usaha pasangan itu tidak berjaya apabila mereka ditahan pihak polis selama lima hari untuk siasatan lanjut. Tindakan mereka juga mengakibatkan penerbangan ke Shanghai itu tertangguh selama 20 minit.