ANKARA: Kerajaan Turki memecat hampir 28,000 guru dan menggantung tugas 9,500 tenaga pengajar yang disyaki terlibat dalam aktiviti keganasan susulan kegagalan rampasan kuasa tentera pada Julai lalu. Timbalan Perdana Menteri Nurettin Canikli berkata, tindakan tersebut diambil sebagai usaha kerajaan memerangi aktiviti keganasan dengan mengambil langkah sewajarnya ke atas golongan guru dan penjawat awam yang terlibat dalam pertubuhan pengganas. Tambahnya, seramai 455 guru yang sebelum ini dipecat, menerima semula jawatan mereka selepas siasatan selesai. "Sebanyak 28,000 guru dibuang kerja manakala siasatan masih diteruskan ke atas tenaga pengajar yang digantung tugas," katanya selepas mesyuarat Kabinet pada Isnin. Insiden cubaan rampasan kuasa pada 15 Julai lalu menyaksikan kira-kira 15 universiti dan 1,000 sekolah rendah yang mempunyai kaitan dengan pemimpin pembangkang, Fethullah Gulen, ditutup atas arahan kerajaan Turki. Keputusan itu mencetuskan persoalan terhadap nasib kira-kira 200,000 pelajar yang tertanya-tanya sama ada mereka boleh meneruskan pengajian dan bimbang masa depan mereka terjejas akibat dikaitkan dengan Fethullah. Selain guru, pihak berkuasa Turki turut memecat atau menggantung tugas 100,000 penjawat awam termasuk hakim, pendakwa raya dan anggota polis yang disyaki terlibat dalam plot rampasan kuasa. Sekurang-kurannya 40,000 orang ditahan oleh pihak berkuasa Turki berhubung jenayah itu.