JAKARTA: Seorang tahanan polis bagi kes curi motosikal dibenarkan melangsungkan majlis akad nikah dengan tunangnya di dalam balai polis ibu kota Jakarta, Polis Daerah Metro Jaya di sini, Khamis. Muhammad Harudin, 20, dan pasangannya Marlena, 19, dinikahkan oleh ketua kampung pengantin perempuan yang berasal dari Lampung, sebuah pulau paling selatan di Pulau Sumatera, Indonesia. Media-media tempatan pada Jumaat melaporkan perkahwinan yang berlangsung dalam suasana menyedihkan itu turut disaksikan oleh ibu bapa kedua-dua pengantin. Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Polis Daerah Metro Jaya, Budi Hermanto dipetik sebagai berkata polis memberi kebenaran untuk mengadakan majlis pernikahan itu atas permintaan ibu bapa keluarga masing-masing yang memaklumkan bahawa Marlena sedang hamil anak Muhammad Harudin. "Atas aspek kemanusiaan, kita membenarkan mereka mengakad nikah dan majlis itu hanya upcara akad nikah sahaja," katanya. Muhammad Harudin yang juga berasal dari Lampung sepatutnya menikahi Marlena pada 20 Ogos lepas dan semua persiapan untuk majlis kenduri perkahwinan di rumah masing-masing telahpun diatur oleh keluarga mereka. Bagaimanapun dia tidak dapat pulang ke Lampung untuk melangsungkan perkahwinannya kerana ditangkap polis ketika sedang berurusan untuk menjual motosikal curi di sini pada 17 Ogos lepas. Ketua Kampung Desa Pelindung Jaya, Lampung Timur, Abdul Wahab memberitahu pemberita, setelah majlis perkahwinan di kampung terpaksa dibatalkan, pihak keluarga bersetuju membuat rayuan kepada polis agar pasangan itu tetap diijab kabul kerana Marlena telah hamil empat bulan. Katanya, setelah rayuan mereka diterima, pihak keluarga menyewa kereta untuk berangkat dari Lampung Timur ke Jakarta dan terpaksa menempuh perjalanan jauh demi menyaksikan pasangan tersebut menikah. "Kami berangkat dari pukul 9 malam dan baru sampai Jakarta pukul 7 pagi dan saya menasihati Hairudin supaya insaf kerana terpaksa melangsungkan acara mulia di tempat yang tidak mulia iaitu dalam lokap polis," kata beliau. Sebaik selesai majlis akad nikah, mereka terpaksa meninggalkan Muhammad Hairudin dalam lokap kerana tempoh tahanan pengantin lelaki itu masih panjang ekoran kesnya masih belum didakwa di mahkamah. - BERNAMA