BANGKOK: Bukan sekadar dijual di pasaran gelap Thailand, tetapi sindiket kereta curi di negara ini turut menyeludup kereta terbabit untuk dijual di pasaran gelap negara di Indo-China seperti Myanmar, Laos dan Kemboja. Sumber keselamatan yang mendedahkan modus operandi sindiket itu berkata, apabila kereta curi itu tiba di negara seperti Myanmar, Laos dan Kemboja maka peluang untuk menemuinya semula adalah amat tipis. Sindiket curi kereta di Malaysia, Thailand dan di negara Indo-China berkenaan mempunyai jaringan kerjasama sesama mereka yang menyukarkan pihak berkuasa untuk menangani jenayah rentas sempadan itu. "Selepas sindiket curi kereta mencuri kenderaan terbabit di Malaysia, mereka kemudiannya akan menyeludup keluar kereta itu ke pelabuhan di Singapura menggunakan kapal kontena. "Dari pelabuhan di Singapura, kapal kontena bermuatan kereta curi Malaysia itu akan ke belayar pula ke pelabuhan di Thailand dengan pelabuhan Laem Chabang dipercayai destinasi utama mereka," katanya kepada Bernama baru-baru ini. Bergantung kepada keadaan, sebahagian daripada muatan kereta curi itu akan diturunkan di Thailand untuk dijual di pasaran gelap negara jiran itu, menurut sumber berkenaan. Menurut sumber itu lagi, satu daripada cara paling terkini dan popular untuk menjual atau 'melupus' kereta curi Malaysia di Thailand adalah menerusi laman web menjual kereta. "Trend terkini adalah untuk menjualnya secara online sahaja," katanya. Awal bulan ini, polis Thailand menyerahkan 22 kereta curi Malaysia bernilai RM2.2 juta yang ditemukan di negara ini kepada Polis Diraja Malaysia (PDRM). Jika tidak dijual di pasaran gelap di Thailand, terdapat juga kemungkinan kereta curi Malaysia itu yang telah diturunkan di pelabuhan di Thailand, diseludup ke negara sekitar menggunakan jalan darat. Katanya, Thailand berkongsi sempadan darat dengan tiga negara Indo-China iaitu, Myanmar, Laos dan Kemboja, kemungkinan destinasi terakhir bagi kenderaan yang dicuri di Malaysia itu. "Jikalau kereta curi Malaysia ini sampai ke negara-negara ini, peluang untuk menemukannya semula adalah umpama kosong," katanya dan menambah, maklumat tentang kereta curi Malaysia di ketiga-tiga negara Indo-China itu juga sukar diperoleh,” katanya. - BERNAMA