BEIJING: Sebuah universiti di China memiliki cara yang unik untuk menggalakkan pelajarnya belajar bersungguh-sungguh dan menghadiri kelas tambahan dengan mempromosikan kejelitaan yang dimiliki oleh pensyarah wanita di institusi pengajian itu.
Kaedah Univesiti Normal Sichuan menjadi topik hangat dalam laman sosial di China apabila gambar 16 pensyarah yang memiliki perwatakan menarik itu disiarkan dalam laman web pada 19 September lalu.
Pensyarah berkenaan yang memiliki kepakaran dalam pelbagai bidang termasuk menyanyi, menarik, reka bentuk artistik, teater dan berbahasa Inggeris, dipilih untuk bergaya dengan harapan dapat mengubah persepsi masyarakat Cina yang menganggap golongan tenaga pengajar kebiasaannya tua dan garang.
Staf jabatan publisiti media sosial universiti itu yang dikenali sebagai Xu, berkata, guru berkenaan dipilih berdasarkan penampilan fizikal, pencapaian akademik dan populariti.
"Memandangkan kami merupakan kolej guru, pelajar di sini akan menceburi kerjaya yang sama pada masa depan.
"Kami mahu kumpulan pensyarah ini menjadi contoh kepada mereka untuk berjaya.
"Ramai pelajar menunjukkan peningkatan dalam pembelajaran dan ada yang sanggup menghadiri kelas tambahan semata-mata mahu menatap wajah cantik guru tersebut," katanya.
Walaupun ramai pihak memuji cara universiti itu, tetapi ada juga yang mengkritik pusat pengajian tersebut yang terlalu bergantung sepenuhnya kepada rupa paras pensyarah wanita terbabit.