suria

Lagi Kes Gajet Ganggu Penerbangan

Tablet model Samsung yang ditemukan pasukan kecemasan dalam pesawat Delta Airlines. - AGENSI

LONDON: Kejadian gajet terbakar atau meletup sejak kebelakangan ini semakin membimbangkan, lebih-lebih lagi membabitkan kes yang berlaku di dalam pesawat.

Terbaharu, sebuah tablet Samsung yang tersorok di bawah kerusi penumpang pesawat Delta Airlines, berasap tiba-tiba dipercayai akibat terlalu panas, menyebabkan penerbangan itu terpaksa dialihkan.

Menurut Mail Online, pesawat yang dalam perjalanan dari Detroit, Amerika Syarikat ke Amsterdam itu terpaksa mendarat di Lapangan Terbang Manchester pada 25 September lalu selepas kapten melaporkan kemunculan asap dalam kabin.

Tambah laporan itu, tablet berkenaan dipercayai ditinggalkan oleh penumpang sebelumnya dan tersorok di bawah kain penutup kerusi, menyebabkan gajet itu panas serta berasap.

Penerbangan pesawat Boeing 767-400 itu tertangguh selama tiga jam sebelum menyambung perjalanan ke Amsterdam.

Susulan kejadian berkenaan, staf Delta Airlines meminta penumpang yang menggunakan gajet Samsung agar memadamkan peralatan mereka bagi mengelakkan insiden sama berulang.

Syarikat itu dalam kenyataannya mengesahkan gajet itu buatan Samsung tetapi bukan model Note 7 yang mengalami masalah bateri.

Pentadbiran Penerbangan Persekutuan (FAA) masih menjalankan siasatan berhubung kes itu.



Samsung, Delta Airlines

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain