suria

300 Pendaki Terperangkap Di Gunung Rinjani

JAKARTA: Lebih 300 pendaki termasuk pelancong asing dipercayai terperangkap di Gunung Rinjani apabila gunung berapi di Pulau Lombok, Indonesia itu mula meletus sejak Selasa.

Ketua Pusat Data Informasi dan Hubungan Masyarakat Badan Nasional Penanggulangan Bencana (BNPB) Sutopo Purwo Nugroho dalam kenyataan media berkata, ketika berlaku letusan gunung pada 2.45 petang semalam, terdapat 389 pengunjung berdaftar dilaporkan berada di gunung itu.

Katanya, berdasarkan maklumat daripada pengurusan Taman Nasional Gunung Rinjani sejak 25 hingga 27 Sept lepas, 389 pengunjung dilaporkan mendaki gunung itu yang terdiri 333 rakyat asing manakala selebihnya rakyat Indonesia.

Beliau berkata kerja-kerja mencari dan menyelamat kesemua pengunjung itu sedang dijalankan bagi meminta semua pengunjung keluar dari kawasan gunung berkenaan.

"Akibat letusan ini, Pusat Vulkanologi dan Mitigasi Bencana Geologi (PVMBG) melarang individu mendekati sekitar radius 3 kilometer dari kawah Gunung Barujari," katanya seperti yang dipetik media tempatan.

Abu vulkanik yang disemburkan oleh gunung itu dilaporkan mencapai 2,000 meter dan ia mempunyai potensi untuk berlaku letusan susulan.

Sutopo berkata berdasarkan hasil analisis data visual dan instrumental, PVMBG menaikkan status Gunung Rinjani dari tahap Normal Aktif (level I) menjadi Waspada (level II) mulai petang semalam dan untuk sementara waktu gunung itu ditutup untuk kunjungan awam.

Masyarakat di sekitar Gunung Rinjani diminta tenang tetapi sentiasa berwaspada dan bekerjasama dengan pihak berkuasa, katanya.

Gunung Rinjani

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Lagi Kes Gajet Ganggu Penerbangan

Artikel Lain