suria

Raja Thailand Mangkat

BANGKOK: Raja Thailand, Bhumibol Adulyadej, raja paling lama memerintah di dunia, mangkat di Hospital Siriraj di sini pada Khamis, demikian diumumkan oleh Biro Diraja Thailand.

Baginda, yang memimpin kerajaan Thailand selama 70 tahun sejak menaiki takhta pada 1946, mangkat pada pukul 3.52 petang ketika usia 89 tahun.
Menurut kenyataan biro itu, baginda menerima rawatan di hospital berkenaan sejak 3 Oktober 2014.

"Secara beransur-ansur keadaan baginda bertambah teruk sehingga baginda menghembuskan nafas terakhir pukul 3.52 petang di Hospital Siriraj. Baginda
berusia 89 tahun dan menduduki takhta selama 70 tahun,' menurut kenyataan itu.

Biro Diraja Thailand mengeluarkan kenyataan tersebut beberapa minit selepas Perdana Menteri, Jen, Prayuth Chan-o-cha mengadakan mesyuarat tidak rasmi
Kabinet Thailand di Rumah Kerajaan.



Menurut media tempatan, Putera Mahkota Maha Vajiralongkorn dan tiga adindanya berada di hospital berkenaan.

Ribuan rakyat Thailand memakai pakaian berwarna merah jambu dan kuning telah berpusu-pusu datang dan berkumpul di luar perkarangan hospital sejak semalam
bagi mendoakan kesihatan raja kesayangan mereka.

Sementara itu, Prayut, dalam ucapan siaran secara langsung melalui saluran televisyen susulan pengumuman oleh biro tersebut, berkata pewaris takhta diraja
telah ditetapkan sejak 1972 tetapi tidak menamakannya.

Beliau berkata Kabinet akan memaklumkan kepada Parliamen mengenai pewaris diraja itu.

Perdana Menteri turut meminta rakyat saling menyayangi antara satu sama lain dan memelihara 'tanah bapa', merujuk kepada baginda yang dimesra digelar 'Bapa'.

Perdana menteri juga mengumumkan bahawa tiada acara berpesta diadakan selama 30 hari mulai esok dan semua rakyat perlu memakai pakaian perkabungan selama setahun.

Dalam tradisi Thailand, pakaian perkabungan adalah berwarna gelap atau hitam.

Mengenai istiadat pemakaman, Kabinet akan mengumumkan kemudian, katanya.

Sementara itu, dalam kenyataan Pejabat Perdana Menteri, menyebut bendera Thailand di semua bangunan pejabat, syarikat milik kerajaan dan agensi kerajaan dikibarkan separuh tiang selama 30 hari bermula esok.

Tempoh perkabungan untuk penjawat awam dan semua petugas agensi kerajaan ditetapkan selama setahun mulai esok.

Kenyataan itu menyebut tempoh perkabungan bagi rakyat biasa terpulang kepada pertimbangan masing-masing.

Raja Bhumibol Adulyadej

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain