suria

Empat Pegawai Hospital Ditahan Susulan Kebakaran Korban 20 Pesakit

Ketua Menteri Odisha, Naveen Patnaik melawat pesakit di Hospital AIIMS di Bhubaneswar pada Selasa selepas dipindahkan daripada Hospital SUM yang terbakar.Foto ihsan: Biswaranjan Rout (The India)

NEW DELHI: Sehari selepas kejadian kebakaran yang mengorbankan 20 nyawa dan mengakibaktan 100 yang lain cedera, polis Odisha di timur India menahan empat pegawai hospital swastan berkenaan.

Empat pegawai terlibat iaitu Superitendan Perubatan, Pusparaj Samantsinhar; Jurutera Penyelenggaran Elektrikal, Amulya Sahoo, Pegawai Keselamatan Kebakaran, Santosh Das dan Jurutera Muda Elektrikal, Malay Sahoo ditahan pada Selasa.

Penahanan itu berasaskan dua kes berasingan berkaitan kecuaian pihak berkuasa hospital itu melaksanakan langkah keselamatan ketika berlakunya kebakaran dan mengabaikan penjagaan pesakit.

"Pada 2013, audit keselamatan kebakaran dijalankan di hospital itu dan pihak berkuasanya sudah diminta mematuhi peraturan yang ditetapkan. Bagaimanapun, berasaskan pemeriksaan yang dijalankan didapati majoriti cadangan penambahanbaikan itu tidak dipatuhi," kata Ketua Pengarah Polis (Khidmat Kebakaran), Binay Behera.

Susulan itu, dua aduan diterima daripada pegawai bomba pusat, B.B.Das yang membuat laporan di Balai Polis Khandagiri berkaitan tiadanya langkah keselamatan kebakaran di hospital itu, manakala Pengarah Pendidikan dan Latihan Perubatan Odisha mengenai tindakan pihak berkuasa hospital itu yang melaksanakan peraturan yang berbeza.

Dalam kejadian pada pukul 7.30 malam waktu tempatan di bandar Bhubaneswar itu, lebih 40 pesakit dalam keadaan kritikal selepas dilaporkan terperangkap dalam wad unit rawatan rapi (ICU) di hospital berkenaan.

Punca kebakaran dipercayai akibat litar pintas di tingkat dua blok bangunan hospital tersebut.

Hospital empat tingkat itu mempunyai sebanyak 1,000 katil untuk pesakit.


Binay Behera, Odisha, Malay Sahoo

Artikel Berikut

Artikel Lain