BANDAR ZAMBOANGA: Pasukan askar Marin di Tawi-Tawi dilaporkan telah menembak mati salah seorang suspek anggota Abu Sayyaf yang cuba merampas senjata askar ketika dalam perjalanan ke balai polis pada Selasa. Jurucakap Western Mindanao Command, Mejar Filemon Tan Jr berkata, Ustab Anji ditahan dalam satu serbuan di bandar Panglima Sugala, Barangay Magsagaw lebih kurang pukul 1 tengah hari. Pihak berkuasa turut merampas sepucuk pistol .45 dan bom tangan daripadanya. Tan berkata, ketika suspek dalam perjalanan ke Balai Polis Panglima Sugala, Anji telah bertindak merampas senjata api daripada salah seorang askar dan tercetus pergelutan sebelum suspek ditembak mati. "Anji terlibat dalam insiden tebusan di Sidapan dan ganjaran P350,000 ditawarkan bagi menangkapnya sebelum ini. "Dia juga dikaitkan dengan penculikan Indonesia dan Malaysia baru-baru ini, "jelas Tan. - Philippine Daily Inquirer / Asia News Network