suria

Pemilik Lamborghini Maafkan Remaja Tunggang Basikal Atas Kereta

Isu antara Izzadnaff (kiri) dan pemilik kereta mewah, Aaron telah selesai. - Sumber FACEBOOK

SINGAPURA: Aksinya sangat nakal sehingga mengundang kecaman ramai netizen selain berdepan masalah dengan pemilik sebuah kereta mewah.

Sabtu lalu, remaja berusia 15 tahun, Izzadnaff Abdul Qusyairl terserempak dengan sebuah Lamborghini Gallardo berwarna kuning di luar Stadium Bedok ketika dalam perjalanan ke pusat permainan video dengan menaiki basikal lasak.

Terpengaruh dengan satu video dalam YouTube yang menunjukkan aksi seorang penunggang basikal lasak melompat dan mengayuh di atas bumbung sebuah kereta, Izzadnaff mengambil keputusan untuk melakukan aksi sama.

"Apabila melakukannya, saya tidak pernah terfikir kesan perbuatan tersebut," katanya kepada akhbar tempatan.

Dia sepatutnya berfikir lebih panjang. Apabila pemilik kereta itu menyiarkan rakaman video yang menunjukkan perbuatan remaja tersebut, rakaman berkenaan tersebar pantas dan ditonton lebih 272,000 kali serta dikongsi sebanyak 3,800 kali selain menerima lebih 350 komen.

Ramai netizen mengecam aksi remaja itu dan ada di antara mereka sanggup mencari dan mendedahkan identiti Izzadnaff.

Namun remaja itu patut bersyukur dan berterima kasih kepada pemilik kereta mewah tersebut, Aaron Rylan Keder, 28, yang sanggup memaafkannya dan mengambil keputusan tidak meminta ganti rugi daripada ibu bapa Izzadnaff.

Sedutan rakaman video yang menunjukkan Izzadnaff mengayuh basikal di atas kereta Lamborghini milik Aaron pada Sabtu lalu. - Sumber FACEBOOK

"Saya bertemu dengan keluarganya pada tengah hari Ahad dan kami menyelesaikan isu tersebut.

"Saya hanya mahukan penjelasan daripada Izzadnaff dan mengetahui perasaannya apabila mengayuh basikal di atas kereta saya.

"Saya juga mahu dia sedar perbuatannya itu adalah salah dan tidak mengulanginya," kata Aaron.

Sebagai peminat tegar sukan basikal lasak, Izzadnaff telah menyertai banyak pertandingan sejak berusia tujuh tahun.

Dia juga menerima Biasiswa Peter Lim pada Mei iaitu dana sukan kepada mereka yang menghadapi masalah kewangan.

Apabila ditanya tentang kejadian tersebut, Izzadnaff berkata, dia sangat kesal atas perbuatannya.

"Saya benar-benar kesal atas kesalahan ini dan memohon maaf kepada Encik Aaron dan keluarga saya," katanya.

Ibunya, Azizah Mohd Putih, 45, seorang suri rumah, berkata, dia sangat marah dengan anaknya itu.

"Izzadnaff biasanya patuh pada arahan. Saya tidak tahu kenapa dia bertindak sedemikian pada hari tersebut.

"Dia sangat takut untuk mengakui kesalahannya tetapi saya memberitahunya bahawa memandangkan dia telah melakukan kesalahan, dia perlu berani untuk mengakui kesalahan," katanya.

Azizah berkata, dia cuba menghubungi Aaron menerusi laman Facebook pada hari yang sama tetapi mesejnya tidak terbalas.

Namun dia berjaya mendapat nombor telefon daripada rakan Facebook Aaron dan menghubungi pemilik kereta tersebut keesokkan pagi.

"Saya tidak tahu apa yang bakal berlaku selepas itu tetapi saya mahu memastikan anak lelaki saya meminta maaf kepada pemilik kereta tersebut," katanya.

Keluarga Izzadnaff berjaya menghubungi Aaron yang merupakan seorang ahli perniagaan dan mereka mengadakan pertemuan untuk menyelesaikan isu tersebut.

"Budak tersebut (Izzadnaff) memiliki masa depan yang cerah dan saya tahu jika merosakkannya, tentu memberi kesan yang buruk.

"Terdapat banyak komen negatif yang diberikan netizen berhubung perkara ini dan saya berasakan kenyataan sedemikian tidak perlu.

"Izzadnaff memohon maaf kepada saya apabila kami bertemu. Saya tahu dia benar-benar kesal," katanya.

Aaron juga berkata, dia tidak menghantar keretanya untuk dibaiki kerana terlalu sibuk.

"Saya tidak pasti jumlah kerosakan yang sebenar, tetapi mungkin body kit kereta itu mengalami kerosakan," katanya.

Lamborghini, Basikal, Singapura

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain