MANILA: Ribut dan angin kencang membadai Filipina hingga memusnahkan rumah, menerbangkan bumbung sekolah dan menumbangkan pokok pada awal pagi Khamis. Bencana itu akibat Taufan Super Haima yang melanda wilayah Cagayan di utara negara itu pada lewat malam Rabu. Haima membadai bandar pesisiran pantai berhadapan Lautan Pasifik dengan kekuatan angin 225 kilometer sejam, dan bertiup sehingga 315 kilometer sejam. Dengan angin hampir menyamai Taufan Haiyan yang meragut 7,350 nyawa pada 2013. Bagaimanapun, setakat ini tiada laporan mengenai kematian diterima. Datuk Bandar Tuguegarao, Jefferson Soriano, melaporkan sekolah dan gimnasium yang dijadikan tempat perlindungan oleh orang ramai rosak teruk. "Mereka meminta bantuan kerana bumbung tercabut. Masalahnya, penyelamat tidak dapat keluar dan membantu," kata Soriano kepada radio DZMM. Taufan Super Haima melanda seluruh gunung dan komuniti perladangan di wilayah utara kepulauan Luzon pada tengah malam dan menjelang pagi, ia berhadapan kemusnahan besar. "Sawah dan ladang jagung musnah. Banyak rumah musnah. Saya melihat satu bangunan sekolah ranap di bawah sebatang pokok besar," kata pensyarah universiti di Ilagan, Villamor Visaya. - AFP