ROME: Beberapa siri gegaran melanda tengah Itali dengan kekuatan gegaran kedua mencecah 6.0 magnitud pada Rabu. Lokasi gegaran adalah kawasan sama yang mengorbankan hampir 300 orang Ogos lalu. Sekurang-kurangnya seorang dilaporkan cedera di salah sebuah bandar dekat kawasan pergunungan selepas beberapa bangunan runtuh. Pihak berkuasa sudah berada di lokasi bencana untuk memberi bantuan kecemasan dan menilai kerosakan. Gegaran boleh dirasai sehingga ke ibu negara, Rome menyebabkan orang ramai keluar dari kediaman nasing-masing dan berkumpul di jalan raya. Pusat Kajian Geologikal Amerika Syarikat (USGS) mencatat gegaran pertama pada 5.5 magnitud sekitar jam 5.10 petang diikuti gegaran kedua, dua jam kemudian. Kedua-dua pusat gegaran gempa itu dikesan dekat perkampungan Visso di tengah wilayah Marche.