LAS VEGAS: Ratu cantik Indonesia Ariska Putri Pertiwi dinobatkan sebagai Miss Grand International di sini pagi Rabu, sekali gus menjadi rakyat negara itu yang pertama memenangi pertandingan tersebut yang diadakan sejak 2013. Menurut laporan portal The Indian Express, Ariska yang berusia 21 tahun, berjaya menewaskan 74 ratu cantik dari seluruh dunia yang memiliki kelebihan tersendiri. “Saya ingin mengucapkan terima kasih kepada penyokong saya dan ahli keluarga yang tidak henti-henti memberikan semangat sepanjang berada dalam pertandingan ini. “Anda semua memang terbaik, saya juga sudah bersedia untuk melakukan kerja-kerja amal di serata dunia terutama sekali memerangi keganasan dan peperangan,” kata Ariska ketika berucapan di atas pentas. Sebelum menjulang mahkota kejuaraan, Ariska telah bersaing dengan Ratu Cantik Thailand, Filipina dan Amerika Syarikat untuk berada pada kedudukan empat peserta teratas. Ariska juga turut menerima anugerah Busana Kebangsaan Terbaik.