JAKARTA: Sebuah mahkamah Indonesia menjatuhi hukuman penjara selama 20 tahun ke atas seorang wanita kerana membunuh rakan kolejnya dengan meracuni kopi yang diminum mangsa. Jessica Kumala Wongso, 27, seorang warganegara Indonesia dan penduduk tetap Australia, kelihatan tenang ketika mendengar keputusan dan hukuman terhadapnya. "Defendan telah terbukti bersalah melakukan pembunuhan terancang," kata hakim Kisworo disambut tepukan dari mahkamah yang penuh sesak. "Pembunuhan itu adalah keji dan sadis kerana defendan melakukannya kepada rakannya sendiri." Wongso bagaimanapun memberitahu panel tiga hakim bahawa keputusan itu adalah "tidak adil dan berat sebelah". Peguam pasukan pembelaan berkata pihaknya akan membuat rayuan. Menurut pendakwa, kedua-dua wanita telah bertemu di sebuah kafe di sebuah pusat beli belah di Jakarta apabila mangsa, Wayan Mirna Salihin meminum seteguk minuman yang bercampur bahan kimia sianida. Mangsa kemudiannya jatuh dan terkena sawan. Beliau meninggal dunia sebaik sahaja tiba di hospital.