LONDON - Mahkamah Tinggi Britain menetapkan keputusan bahawa Parlimen negara itu perlu melaksanakan undian bagi mendapatkan sokongan untuk memulakan proses meninggalkan Kesatuan Eropah (EU) atau Brexit. Keputusan itu sekali gus membawa maksud kerajaan Britain tidak boleh menggunakan Artikel 50 Perjanjian Lisbon iaitu memulakan perbincangan secara rasmi dengan EU tanpa persetujuan Parlimen. Sebelum ini, Perdana Menteri Britain, Theresa May berkata, keputusan pungutan suara dan kuasa kementerian yang sedia ada menunjukkan anggota Parlimen tidak perlu melakukan undian tetapi kem Brexit menyifatkan tindakan itu sebagai tidak mengikut Perlembagaan. Malah beliau berkata mahu mengaktifkan Artikel 50, sekali gus memaklumkan kepada EU secara format untuk meninggalkan blok tersebut selewat-lewatnya pada Mac tahun depan. Kerajaan mengemukakan rayuan terhadap keputusan Mahkamah Tinggi itu dan pendengaran kes dijangka berlangsung pada bulan depan. Pemimpin Parti Bebas United Kingdon (UKIP), Nigel Farage berkata, beliau bimbang berlaku pembelotan dalam kalangan 51.9 peratus pengundi yang menyokong kempen Brexit pada sesi pungutan suara Jun lalu. Bagaimanapun penganalisis politik dari rangkaian berita BBC, Norman Smith berkata, sekiranya keputusan Mahkamah Tinggi tidak berubah, usaha untuk keluar dari EU mungkin tertangguh selama berbulan-bulan ekoran perdebatan dalam Parlimen. "Namun kemungkinan juga Parlimen akan membuat keputusan yang lebih cepat dan tepat atau mereka mempertimbangkan proses perundangan yang lebih rumit. "Tetapi saya percaya kebanyakan anggota Parlimen akan menyokong Artikel 50 memandangkan kempen Brexit mendapat majoriti sokongan pengundi," katanya.