suria

Denda Tenung Lampu Kenderaan Sendiri Akibat Pasang Lampu Tinggi

Seorang pesalah trafik didenda merenung lampu kenderaan sendiri akibat memasang lampu tinggi. - Ihsan Weibo

BEIJING: Polis China mengambil pendekatan berbeza untuk menghukum pemandu yang sering menggunakan lampu tinggi pada waktu malam sehingga menggangu penglihatan pengguna jalan raya yang lain.

Pemandu yang ditahan kerana melakukan kesalahan itu akan didenda merenung lampu kenderaan mereka sendiri selama seminit sebagai pengajaran agar tidak menyusahkan orang lain.

Portal Shanghaiist melaporkan, langkah itu dimulakan oleh polis di Shenzen sejak 2014 tetapi mengundang kritikan ramai pihak.

Namun sejak 1 November lalu, orang ramai mula menyokong usaha tersebut bagi memberi kesedaran kepada pemandu lain tentang gangguan lampu tinggi yang boleh menyebabkan kemalangan.

"Polis trafik, tindakan ini tidak betul, mereka perlu dihukum selama lima minit," komen seorang pengguna laman sosial Weibo.

"Seluruh negara perlu melaksanakan hukuman sebegini," kata seorang lagi pengguna.

Berdasarkan undang-undang, pemandu yang melakukan kesalahan itu akan didenda sebanyak 300 yuan (RM185), kehilangan markah lesen dan perlu berikrar untuk menggunakan lampu depan kereta dengan betul.


Lampu Tinggi, China

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain