suria

Henti Sebar Maklumat Palsu Situasi Di Jakarta - Duta Malaysia

SEORANG lelaki mengayuh basikal melintasi sebuah trak polis yang terbakar susulan pertempuran antara penunjuk perasaan anti-Ahok dan polis antirusuhan di Jakarta pada 4 November 2016. - AP

JAKARTA: Kedutaan Besar Malaysia di Indonesia pada Sabtu meminta rakyat Malaysia tidak menyebarkan maklumat dan berita palsu mengenai kononnya berlaku pengemboman di Lapangan Terbang Antarabangsa Soekarno-Hatta di sini.

Sambil menafikan insiden seumpama itu berlaku, Duta Besar Malaysia di Indonesia Datuk Seri Zahrain Mohamed Hashim berkata keadaan di Jakarta selamat dan terkawal selepas satu demonstrasi diadakan di ibu kota ini semalam.

Beliau memberitahu Bernama di sini bahawa ada pihak tidak bertanggungjawab sedang menyebar gambar dan maklumat palsu mengenai kononnya lapangan terbang itu dibom dan beberapa orang maut dalam demonstrasi pada Jumaat.

"Hentikan penyebaran maklumat palsu yang boleh menimbulkan keresahan orang ramai. Pihak kami sentiasa memantau perkembangan semasa di Indonesia dan rakyat Malaysia yang mahu berkunjung ke Jakarta boleh mendapatkan maklumat sahih dari kedutaan atau menghubungi Wisma Putra," katanya.

Berdasarkan maklumat yang diperoleh, katanya seorang rakyat Indonesia meninggal dunia akibat penyakit asma ketika berada dalam kesesakan perhimpunan itu.

Zahrain berkata Kedutaan Malaysia juga memastikan tiada seorang pun rakyat Malaysia terbabit dalam demonstrasi berkenaan.

Dalam pada itu, beliau merakamkan ucapan syabas kepada pihak berkuasa Indonesia kerana menangani demostrasi itu dengan baik walaupun perhimpunan umat Islam itu berakhir dengan sedikit kekecohan akibat perbuatan pihak tidak bertanggungjawab.

Semalam, ratusan ribu umat Islam semalam menyertai demonstrasi itu bagi membantah Gabenor Jakarta Basuki Tjahaja Purnama atau Ahok yang disifatkan sebagai penista agama Islam.

Ahok ketika bertemu dengan pengundi di Pulau Seribu bulan lepas telah meminta mereka supaya tidak terpedaya dengan pihak yang menggunakan surah Al Maidah untuk melarang mereka memilih pemimpin bukan dari kalangan umat Islam.

Ahok dicabar oleh dua pasangan yang bertanding bagi dua lagi gabungan parti-parti politik iaitu pasangan Anies Bsawedan-Sandiaga Uno dan pasangan Agus Harimurti Yudhoyono-Sylviana Murni pada Februari tahun depan.

Sementara itu, Kementerian Luar Indonesia dalam satu kenyataan berkata Presiden Joko Widodo telah menangguhkan lawatannya ke Australia esok bagi membolehkannya memantau secara peribadi perkembangan selepas demonstrasi itu.

Presiden Republik Indonesia itu dijadual mengunjungi Australia selama dua hari mulai Ahad bagi mengadakan perbincangan dua hala dengan rakan sejawatannya Malcolm Turnbull. - BERNAMA

Malaysia, Jakarta, Indonesia, Ahok

Artikel Lain