suria

Bantah Ahok: Jokowi Dakwa Ada Ahli Politik Ambil Kesempatan

Ratusan ribu penunjuk perasaan membanjiri jalan-jalan utama di Jakarta ketika mengadakan bantahan terhadap calon Gabenor Basuki Tjahaja Purnama atau Ahok pada 4 November 2016. - REUTERS

JAKARTA: Presiden Indonesia Joko Widodo mendakwa ada ahli-ahli politik tertentu mengambil kesempatan mengeruhkan suasana dalam demonstrasi yang disertai ratusan ribu umat Islam di ibu kota Jakarta pada Jumaat.

Katanya, disebabkan itu para peserta perhimpunan itu terpengaruh dan melakukan kekecohan dan menentang pasukan keselamatan.

"Kita kesal kejadian ba'da Isya yang seharusnya sudah bubar tapi menjadi rusuh (kekacauan) dan ini kita lihat telah ditunggangi aktor-aktor politik yang memanfaatkan situasi," katanya seperti yang dipetik oleh media-media online Sabtu.

Jokowi berkata beliau telah mengarahkan naib presiden Jusuf Kalla untuk menerima memorandum bantahan itu daripada wakil perhimpunan kerana beliau terpaksa menghadiri majlis di luar istana.

"Saya telah menyatakan bahawa kes Ahok itu akan disiasat secara tegas, tepat dan telus...Biarkan pihak keselamatan bekerja menyelesaikan proses penegakan hukum seadil-adilnya," kata beliau

Pada Jumaat, ratusan ribu umat Islam menyertai demonstrasi sebagai membantah Gabenor Jakarta Basuki Tjahaja Purnama atau Ahok yang didakwa menghina al-Quran.

Ahok ketika bertemu dengan pengundi di Pulau Seribu bulan lepas telah meminta mereka agar tidak terpedaya dengan pihak menggunakan surah al-Maidah untuk melarang mereka memilih pemimpin bukan daripada kalangan umat Islam.

Beliau adalah satu-satunya calon gabenor dari keturunan Tionghua dan bukan beragama Islam di Indonesia yang akan bertanding mempertahankan jawatannya pada Pilihan Raya Ketua Daerah (Pilkada) Februari tahun depan.

Ahok dicabar dua pasangan yang bertanding atas dua lagi gabungan parti-parti politik iaitu pasangan Anies Bsawedan-Sandiaga Uno dan pasangan Agus Harimurti Yudhoyono-Sylviana Murni.

Kenyataan Ahok itu telah menimbulkan kemarahan umat Islam dan tokoh-tokoh agama di seluruh Indonesia dan mereka menganjurkan perhimpunan besar-besaran bermula selepas solat Jumaat.

Bagaimanapun, perhimpunan yang sepatutnya dijadual berakhir 6 petang di istana semalam telah berlanjutan sehingga pukul 5 pagi tadi apabila ribuan peserta demonstrasi itu berarak pula ke Dewan Perwakilan Rakyat atau parlimen Republik Indonesia di Jakarta Selatan.

Setelah gagal memasuki kawasan Parlimen, mereka tidur di atas jalan raya di hadapan dewan sehingga solat subuh sebelum bersurai.

Sebelum itu, kekecohan mula berlaku apabila peserta perhimpunan itu enggan bersurai atas alasan mahu wakil perhimpunan itu menemui Presiden Joko Widodo dan bukannya wakil presiden.

Kejadian itu berlaku apabila beberapa wakil penganjur perhimpunan termasuk pemimpin Gerakan Nasional Pembela Fatwa-MUI (GNPF-MUI) Cholil Ridwan dan Athos Alatas memasuki istana untuk menyerahkan memorandum.

Mereka kemudiannya bertemu Jusuf Kalla kerana enggan menyerahkan memorandum itu kepada beberapa menteri kabinet yang berada di istana.

Polis terpaksa mengambil tindakan menggunakan pancutan meriam air untuk menyuraikan mereka dan suasana menjadi kecoh apabila peserta perhimpunan itu mula menentang pasukan keselamatan dengan melontar pelbagai objek dan membakar kenderaan pasukan keselamatan.

Setelah kira-kira dua jam kemudian, sebahagian peserta demonstrasi itu berundur dan menaiki bas masing-masing menuju ke kawasan Parlimen dan Ketua Front Pembela Islam (FPI) Rizieq Shihab mengajak peserta untuk berehat hingga solat Subuh.

Rizieq sebelum itu menemui Ketua Majlis Permusyawaratan Rakyat Zulkifli Hasan bagi membincangkan memorandum bantahan itu. - BERNAMA

Jokowi, Ahok

Artikel Lain