NEW YORK: Carolina Utara melanjutkan waktu pengundian bagi Pilihan Raya Presiden Amerika Syarikat (AS) di beberapa kawasan pada Selasa. Namun, Colorado menolak permohonan untuk melanjutkan tempoh pengundian kerana kedua-dua negeri mengalami masalah dengan sistem pengundian elektronik. Di Carolina Utara, penyokong termasuk Persatuan Kebangsaan bagi Kemajuan Orang Berwarna menggesa kerajaan negeri melanjutkan masa mengundi di lapan kawasan di Durham County sehingga pukul 9 malam waktu tempatan, sejam setengah melebihi waktu pengundian sebenar ditutup. Sebaliknya, lembaga negeri itu melanjutkan tempoh mengundi selama sejam di dua kawasan dan kurang daripada itu di enam kawasan lain. Di Colorado, Parti Demokratik memfailkan petisyen di Mahkamah Daerah Denver County untuk melanjutkan masa mengundi selama dua jam lagi selepas berlaku masalah teknikal melibatkan sistem pengundian secara elektronik. Namun, seorang hakim menolak permintaan itu dan berkata pusat pengundian akan ditutup pada pukul 7 malam waktu tempatan seperti yang dijadualkan. Colorado dan Carolina Utara antara dua negeri penting bagi menentukan kemenangan calon Parti Republikan, Donald Trump dan Hillary Clinton yang mewakili Parti Demokrat.