suria

Kes Anti-Islam Di AS Semakin Meningkat - FBI

NEW YORK: Jenayah kebencian terhadap masyarakat Islam di Amerika meningkat sebanyak 67 peratus pada 2015, sekali gus menjadi peningkatan tertinggi sejak insiden 11 September 2001.

Berdasarkan laporan Biro Siasatan Persekutuan (FBI), secara keseluruhannya sebanyak 57 peratus daripada 5,850 kes yang dilaporkan bermotifkan bangsa atau etnik manakala sebanyak 20 peratus lagi melibatkan jenayah kebencian berkaitan agama.

Tambah laporan itu, sebanyak 257 insiden kes anti-Islam berlaku pada tahun lalu berbanding 154 kes tahun sebelumnya.

Jumlah itu merupakan kedua tertinggi berbanding peningkatan kes jenayah kebencian yang dilaporkan pada tahun 2001 apabila sebanyak 481 kes anti-Islam diterima.

Laporan itu dikeluarkan ketika ketegangan kaum dan agama semakin meningkat susulan keputusan Pilihan Raya Presiden pada minggu lalu yang memihak kepada wakil Parti Republikan, Donald Trump yang terkenal dengan dasar anti-Islam dan antipendatang.

Mengulas tentang laporan tersebut, wakil Majlis Perhubungan Islam-Amerika (CAIR), Ibrahim Hooper berkata, statistik itu menunjukkan perpecahan yang sedang berlaku di AS.

"Kita menyaksikan peningkatan jumlah jenayah kebencian terhadap Islam pada lewat tahun 2015 dan jumlah ini semakin bertambah semasa kempen pilihan raya Trump.

"Kami menjangkakan situasi ini akan bertambah buruk lagi pada masa akan datang, lebih-lebih lagi dasar Islamofobia yang cuba diterapkan oleh Trump," katanya seperti dilaporkan portal Al Jazeera.

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain