BANGKOK: Banjir yang melanda 12 wilayah di selatan Thailand sejak awal bulan ini meragut 22 nyawa dan menjejaskan kehidupan lebih 750,000 penduduk, kata Jabatan Pencegahan dan Kawalan Bencana. Bagaimanapun, menurut pengarahnya, Chatchai Promlert, banjir di beberapa wilayah kini mula surut. "Banjir juga merosakkan 1,565 jalan raya, 129 jambatan, 65 saluran paip air dan 59 empangan," katanya dalam kenyataan di sini sambil menjelaskan bahawa para pegawai akan terus memantau keadaan dan menghulurkan bantuan. Beliau berkata laporan cuaca menyebut angin monsun timur laut akan terus membawa hujan ke wilayah selatan dan mengakibatkan ombak hingga setinggi dua meter di Teluk Siam dan Laut Andaman. Antara wilayah yang paling teruk dilanda banjir ialah Nakorn Si Thammarat, yang menyebabkan empat orang maut dan menjejaskan kehidupan 300,000 penduduk, Surat Thani (mengorbankan empat nyawa dan menjejaskan kehidupan 120,000 penduduk) serta Songkhla dan Phattalung. Hubungan kereta api ke wilayah selatan negara ini juga terjejas akibat bencana alam itu, katanya. - BERNAMA