suria

84,000 Merempat Akibat Gempa Pidie Jaya

ACEH: Angka penduduk yang kini hidup merempat susulan gempa bumi kuat di daerah Pidie Jaya minggu lalu melonjak kepada 84,000 orang, menyebabkan pihak berkuasa meningkatkan usaha menjaga kebajikan mangsa.

Gempa bumi berkekuatan 6.5 magnitud yang melanda daerah itu pada 7 Disember lalu menyebabkan lebih 100 mangsa maut dan beratus-ratus lagi cedera.

Bencana yang berlaku pada waktu subuh itu menyebabkan beribu-ribu rumah, premis perniagaan dan masjid runtuh.

Hospital dan klinik lapangan dipenuhi mangsa yang cedera manakala pusat perlindungan diwujudkan untuk penduduk yang hilang tempat tinggal.

Jurucakap agensi pengurusan bencana kebangsaan, Sutopo Purwo Nugroho berkata, jumlah penduduk yang hilang tempat tinggal kini meningkat dua kali ganda kepada lebih 83,800 orang.

“Penduduk masih takut dan bimbang dengan gempa susulan. Mereka lebih selesa tinggal di pusat perlindungan.

“Namun, kami menghadapi masalah bekalan air di beberapa pusat perlindungan,” katanya dalam kenyataan pada Selasa.

Tambahnya, beberapa perigi juga kering sejak gempa bumi melanda.

Menurut agensi itu, bantuan kemanusiaan mula tiba di kawasan yang paling teruk terjejas tetapi mangsa masih memerlukan lebih makanan, pakaian dan kelengkapan kebersihan.

Presiden Indonesia, Joko Widodo (Jokowi) yang melawat wilayah itu minggu lalu juga berjanji membina semula kawasan yang musnah.

Indonesia sering dilanda gempa bumi dan letupan gunung berapi kerana terletak di garisan yang dikenali sebagai lingkaran api Pasifik.

Bencana terbaru itu juga mengimbau kembali memori hitam gempa bumi kuat bawah laut pada 26 Disember 2004 yang mencetuskan tsunami dan melanda beberapa negara pesisir Lautan Hindi.

Bencana itu menyebabkan lebih 170,000 mangsa terbunuh di Indonesia sahaja, majoriti di wilayah Aceh, kawasan yang paling teruk terjejas.- AFP

Pidie Jaya, Aceh, gempa bumi

Artikel Berikut

Artikel Lain