suria

Duterte Dedah Hidap Buerger, Rela Digulingkan Atau Dibunuh

MANILA: Presiden Rodrigo Duterte mendedahkan dia kini berhadapan masalah sakit belakang dan migrain akibat  penyakit Buerger yang dihidapinya.

Katanya, ia berpunca daripada saluran darah tersumbat yang ada kaitan dengan tabiat merokok di zaman remajanya.

Pemimpin berusia 71 tahun itu kini tidak lagi merokok atau minum arak.

Beliau berkata demikian ketika mengulas mengenai kesihatannya.

Bagaimanapun, seorang jurucakap bertindak pantas untuk menyatakan penyakit yang dihidap presiden itu tidak serius.

Pemimpin paling tua dipilih menjadi presiden Filipina sejak zaman selepas perang itu berkata, dia tidak kisah digulingkan atau dibunuh pihak yang menentang kempen antidadahnya.

Sejak 1 Julai lalu, lebih 5,000 terbunuh dalam kempen memerangi dadah yang dilancarkan pemimpin Filipina itu. 

Polis berkata, 2,004 orang ditembak mati oleh anggotanya yang mempertahankan diri sementara 3,060 kematian lain masih disiasat.

“Guling saya atau lebih baik bunuh saya, setiap hari saya diserang migrain,” katanya dalam pertemuan dengan pemimpin perniagaan, Isnin.

“Saya menghadapi banyak masalah dengan tulang belakang saya. Masalah sebenar ialah saya menghidap Buerger, kesan daripada merokok,” katanya.

Menurutnya, dia dinasihatkan supaya menjalani pembedahan tulang belakang tetapi isterinya, jururawat yang pernah bekerja di Amerika Syarikat, tidak bersetuju.

“Jika kamu melihat saya bersedih, itu sebenarnya saya menahan kesakitan,” katanya sambil memegang sebelah kanan mukanya.

Bagaimanapun, jurucakapnya, Ernesto Abella berkata, masalah kesihatan tidak menjejaskan tugas Duterte.

“Tidak serius,” katanya kepada wartawan ketika diminta mengulas kenyataan presiden itu.

Duterte terlepas beberapa acara ketika mesyuarat Asean di Laos September lalu dan sidang kemuncak Kerjasama Ekonomi Asia Pasifik di Peru bulan lalu, kerana migrain dan sakit perut.

Semalam, dia mengumumkan pengagihan ubat bernilai dua bilion peso (RM177.4 juta) untuk penduduk miskin yang berdepan masalah kesihatan. - Reuters


Duterte, Buerger

Artikel Berikut

Artikel Lain