SINGAPURA: Seorang pengembara warga British yang ketakutan akibat terperangkap dalam sebuah kereta telah diselamatkan oleh pihak polis di Australia selepas menghantar teks pesanan kepada bapanya yang berada pada jarak beribu batu di England. Mary Kate Heys, 20, bertemu dengan seorang lelaki ketika tinggal di asrama yang sama dengannya di Queensland, menurut laporan media. Gadis itu bersetuju meneruskan perjalanan dengan kereta ke Brisbane dengan lelaki itu pada Isnin, tetapi curiga apabila lelaki berkenaan mula memandu ke arah bertentangan dan enggan membiarkan beliau keluar dari kenderaan, menurut Huffington Post. Heys telah menghantar siri teks kecemasan kepada bapanya di rumah. "Ayah, kamu sudah bangunkah," soalnya dalam teks yang pertama. "Ya, baru pukul 7 malam. Adakah awak OK," jawab bapanya. Heys kemudian berkongsi lokasi dengan bapanya dan berkata: "Saya mahu awak hubungi polis Australia. Jangan telefon saya. Beritahu mereka bahawa saya berada dalam kereta Peugeot berwarna perak." Beliau menambah: "Saya telah dibawa lari oleh seorang lelaki yang saya tidak fikir dia berbahaya. Sila bantu segera." Dalam satu teks, beliau berkata: "Lelaki ini fikir dia adalah makhluk asing." Bapanya terus menghubungi polis dan meminta anaknya itu supaya terus menghantar mesej dan lokasinya. Heys juga menghantar mesej kepada bapanya yang menunjukkan lokasinya di peta Google. "Saya menghantar mesej yang ibu bapa tidak pernah mahu menerimanya," kata Heys kepada The Courier-Mail. "Saya telah menggunakan peta itu untuk mengarahkan dia (pemandu) ke Cairns dan sentiasa berpura-pura ada sesuatu yang salah dengan aplikasi itu supaya saya boleh terus menghantar mesej kepada ayah saya secara diam-diam." Polis menahan kenderaan yang dinaiki Heys di Gympie, kira-kira 80km dari asrama pasangan menginap. Pasangan itu telah memandu selama kira-kira satu jam setengah sebelum berlakunya campur tangan pihak berkuasa, lapor news.com.au. Pemandu berusia 22 tahun, dari Sweden itu telah ditangkap dan dibawa ke hospital untuk rawatan perubatan. Heys dari Manchester memberitahu 7 News Sydney: "Dia telah bercakap tentang dirinya menjadi 'alien' dengan begitu bersemangat dan saya pula seakan-akan percaya padanya. Pada masa itu saya tahu bahawa saya berdepan sedikit masalah." "Saya fikir boleh jadi ini satu pakatan untuk bunuh diri. Dia boleh sahaja memandu terjun tasik atau sebagainya." Beliau kemudian memberitahu Daily Mail Britain: "Bapa saya lega kerana saya selamat, tetapi masih sangat terkejut dengan apa yang berlaku." Heys sepatutnya tinggal di Australia selama setahun tetapi mahu pulang untuk bersama ibu bapanya. "Saya sangat terkejut," katanya kepada Daily Mail. "Setiap kali saya mendengar suara bising, saya melompat. Saya rasa tidak selamat. Saya mahu pulang ke rumah dan mungkin kembali dalam beberapa bulan selepas saya tenang." Heys memberitahu Daily Mail bahawa beliau mengambil keputusan untuk tidak mendakwa lelaki itu dan berharap lelaki itu beransur pulih. –The Straits Times/Asia News Network