BARACK Obama dijadual mengadakan sidang media terakhirnya selaku Presiden Amerika Syarikat di White House beberapa jam lagi. Mengikut perancangan, Obama akan mula berucap pada pukul 2.15 petang (waktu tempatan) Jumaat. Jurucakap White House berkata, acara itu akan berlaku sebelum Obama dan keluarganya bercuti di Hawaii. "Presiden Obama dijangka menyampaikan nasihatnya kepada bakal presiden Donald Trump. "Selain itu, beliau juga akan menyentuh isu berhubung campur tangan Rusia terhadap pilihan raya presiden yang didedahkan baru-baru ini," katanya. Sidang media itu akan disiarkan secara langsung menerusi press room White House. Tempoh pentadbiran Obama bakal berakhir apabila menyerahkan kuasa presiden kepada Trump secara rasmi pada 20 Januari depan. Trump, calon Parti Republikan menewaskan pencabarnya Hillary Clinton (Parti Demokrat) pada Pilihan Raya Presiden AS.