suria

Duterte Tolak Kerjasama AS

MANILA: Presiden Filipina, Rodrigo Duterte berkata, beliau sedia membatalkan perjanjian penempatan anggota, latihan dan peralatan ketenteraan dengan Amerika Syarikat (AS).

“Selamat tinggal Amerika, kami tidak perlukan duit anda,” katanya.

Beliau bagaimanapun berharap hubungan dengan bakal Presiden baharu, Donald Trump akan bertambah baik.

“Saya suka kelancangan mulut anda, sama seperti saya. Betul tuan Presiden. Kita mempunyai persamaan dan boleh bekerjasama,” kata Duterte.

Menjawab kritikan pentadbiran AS terhadap laporan pembunuhan tanpa mengikut undang-undang dalam kempen pembasmian jenayah dadah, Duterte menyatakan pihaknya tidak memerlukan AS.

“Bersiap sedia untuk keluar dari Filipina. Bersedia untuk pembatalan atau pemansuhan Perjanjian Lawatan Ketenteraan (VFA),” ujarnya dalam sidang media sebaik  tiba di sini selepas membuat lawatan rasmi ke Kemboja dan Singapura.

Perjanjian VFA yang ditandatangani pada 1998 itu memberikan status undang-undang kepada beribu-ribu anggota tentera AS untuk bergilir-gilir ke negara berkenaan bagi tujuan latihan ketenteraan dan operasi bantuan kemanusiaan.

Duterte menambah, keputusan tersebut akan berlaku dalam masa terdekat selepas mengkaji semula satu lagi perjanjian ketenteraan iaitu Perjanjian Kerjasama Peningkatan Pertahanan.

Beliau dikatakan kecewa dan marah terhadap Washington kerana keputusan ahli lembaga Millennium Challenge Corp. menangguhkan undi untuk pemilihan semula Manila bagi pembangunan berikutan masalah hak kemanusiaan.

“Kami tidak perlukan duit anda. China menyatakan kesediaan untuk memberikan dana. Cara politik di Asia Tenggara telah berubah,” ujar Duterte. – Reuters


Duterte, Amerika, Trump

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain