LA PAZ: Juruterbang pesawat terhempas yang menggorbankan 71 nyawa termasuk pasukan bola sepak The Chapocoense semasa dalam perjalanan ke Colombia tidak mempunyai jam latihan penerbangan secukupnya untuk mengemudi pesawat komersial, kata peguam kepada pembantu juruterbang. "Kami dapat menunjukkan juruterbang Miguel Quiroga tidak melengkapkan jam latihan penerbangan yang diperlukan bagi menerbangkan pesawat komersial," kata Omar Duran, peguam kepada keluarga pembantu juruterbang Fernando Goytia. Pesawat syarikat penerbangsan La Mia itu terhempas di kawasan pergunungan di luar Medellin pada 29 November lalu. Nahas itu menggorbankan sebahagian besar pasukan bola sepak Brazil, The Chapocoense yang sepatutnya beraksi untuk perlawanan final kejohanan bola sepak Amerika Selatan. Dalam satu rakaman perbualan yang bocor, juruterbang boleh didengar memberi amaran bahawa berlaku 'kegagalan elektrik sepenuhnya' dan 'kehabisan bahan api'. Enam mangsa terselamat dalam nahas itu. "Nampaknya pada 2013, terdapat beberapa maklumat tidak tepat disampaikan dan disebalik fakta itu, pihak berkuasa mengesahkan Quiroga tidak mempunyai jam penerbangan yang diperlukan untuk memperoleh lesennya," kata Duran. Siasatan masih dijalankan tetapi ketua keselamatan penerbangan awam Colombia berkata pesawat tersebut tidak menghiraukan peraturan antarabangsa mengenai rizab bahan api. Bolivia turut menggantung permit penerbangan La Mia dan menahan pemilik syarikat itu dan anak lelakinya yang juga bertugas sebagai seorang pegawai di jabatan penerbangan awam.