suria

99 Peratus Senator AS Percaya Rusia 'Godam' Pilihan Raya Presiden

Hillary dan Trump ketika sesi perdebatan menjelang Pilihan Raya Presiden pada 8 November 2016.

NEW YORK: Sebanyak 99 peratus anggota Senator Amerika Syarikat (AS) percaya Pilihan Raya Presiden pada November lalu "digodam" oleh Rusia, demikian dakwaan Senator Parti Republikan, Lindsey Graham pada Selasa.

Graham ketika berkata kepada rangkaian televisyen CNN, Rusia bukan sahaja mencampuri proses pilihan raya di AS tetapi melakukan amalan tersebut di seluruh dunia.

Ujarnya, Rusia dipercayai mengganggu pilihan raya di negara yang mengamalkan corak pemerintahan demokrasi sebagai usaha mereka untuk menguasai dunia.

"Terdapat kira-kira 100 anggota senator AS dan saya yakin 99 peratus daripadanya percaya Rusia mencampuri urusan negara ini, dan kita perlu berbuat sesuatu mengenai isu tersebut.

"Kita perlu berbincang sama ada wajar mengenakan sekatan terhadap Presiden Rusia, Vladimir Putin dan sekutunya yang mencampuri pilihan raya negara ini," kata Graham.

Pada Oktober lalu, Washington menuduh Moscow melancakran kempen siber memerangi organisasi politik AS tetapi motif agenda tersebut tidak begitu jelas.

Kemudian pada 8 November lalu ketika wakil Parti Demokratik, Hillary Clinton dan calon Parti Republikan, Donald Trump bertembung dalam Pilihan Raya Presiden, Washington mendakwa beberapa pertubuhan berkaitan Parti Demokratik digodam oleh Rusia sebagai usaha memastikan Trump menang.

Ketika ahli politik Republikan dan Demokrat menyuarakan kebimbangan terhadap laporan itu dan menggesa siasatan terperinci diadakan, bakal Presiden AS, Trump mengenepikan dakwaan berkenaan.

Malah Trump menyifatkan laporan Agensi Perisikan Pusat (CIA) berhubung aktiviti penggodaman Rusia sebagai "mengarut" dan menganggap dakwaan terbabit sebagai menafikan kemenangan beliau dalam pilihan raya lalu.

Artikel Berikut

Artikel Lain